PUSAT SUMBER SEKOLAH

E-PENDIDIKAN

PAUTAN PILIHAN

;

MODUL PSS

MAKLUMAT TERKINI

Album Kenangan

Loading...
;

Selasa, 18 Mei 2010

MAKNA BENDERA DAN JATA


Bendera Malaysia

Bendera negara Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Terengganu, Perlis, Selangor, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna Kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Di Raja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Lambang Kerajaan Malaysia


Jata Negara Malaysia


    Lambang Malaysia, atau Jata Negara mengandungi sebuah perisai yang dipegang oleh dua ekor harimau yang merupakan lambing kepada melayu tradisional serta kekuatan dan keberanian. Di atasnya memaparkan simbol bulan sabit dan bintang pecah 14. Warna kuning pada simbol bulan sabit dan bintang itu merupakan warna diraja dan melambangkan pemerintahan beraja di Malaysia. Simbol bulan sabit adalah lambang agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia manakala simbol bintang menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Persekutuan.
    Lima bilah keris yang terletak di bahagian atas merupakan lambang Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada zaman dahulu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Di bawah keris tersebut terdapat empat jalur yang sama besarnya berwarna warna hitam, putih, merah dan kuning yang melambangkan empat buah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Merah dan kuning melambangkan warna negeri Selangor; hitam dan putih warna bagi negeri Pahang; hitam, putih dan kuning warna bagi negeri Perak; serta warna merah, hitam dan kuning bagi Negeri Sembilan. Bahagian sebelah kiri perisai iaitu pokok Pinang dan jambatan merupakan simbol untuk negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan iaitu pokok Melaka adalah simbol untuk negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat pada zaman dahulu. Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan Jata Negeri Sabah di sebelah kiri dan Jata Negeri Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunga Raya, iaitu Bunga Kebangsaan Malaysia. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai memegang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Jata Negara. Cogan kata "Bersekutu Bertambah Mutu" yang ditulis dengan tulisan Rumi di sebelah kiri dan Jawi di sebelah kanan juga dipaparkan di skrol yang berwarna kuning.

________________________________________________________________________

Bendera Wilayah Persekutuan Putrajaya

Bendera baru bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah berasaskan dua (2) warna utama iaitu biru dan kuning.Warna biru melambangkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.Manakala warna kuning bendera adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.Logo Persekutuan melambangkan Wilayah Persekutuan Putrajaya menjadi tonggak pentadbiran negara yang baru dengan kekuatan dan semangat yang utuh dalam mengharungi era globalisasi dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

_______________________________________________________________________

Bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah. Warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan.

14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan pentadbiran.

- Warna biru tua di bahagian tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum.

- Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif.

- Warna kuning melambangkan kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur.

- Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya.

__________________________________________________________________________

Bendera Wilayah Persekutuan Labuan

Bendera ini mengandungi tiga jalur melintang yang sama lebar berwarna merah, putih dan biru dengan bulan bintang pecah empat belas berwarna kuning terletak di tengah bendera. Jalur-jalur merah, putih, biru dan bulan bintang berwarna kuning yang melambangkan warna Bendera Malaysia membawa makna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia. Bulan Bintang bermakna Agama Islam sebagai agama rasmi dan bintang pecah empat belas menggambarkan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan bersatu dalam Persekutuan Malaysia.

Merah : Melambangkan keberanian bermakna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia.

Putih : Melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan dalam mempertingkatkan katahanan rakyat yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia.

Biru : Melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum, hidup bersatu, aman makmur hormati serta berusaha untuk memajukan pembangunan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi.

Kuning : Melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.

Bulan Bintang : Bulan bintang berwarna kuning yang menjadi lambang keIslaman dan Kedaulatan Raja Berperlembagaan yang terletak di tengah-tengah dan mencakupi ketiga-tiga jalur (merah, putih, biru) menampakkan kestabilan dan kekuatan di dalam menyatukan lambang-lambang keberanian, kesucian dan perpaduan.

________________________________________________________________________

Bendera Negeri Johor

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri.

Lambang Negeri Johor

Mahkota tanda D.Y.M.M. Raja Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau; sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam. Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai maksudnya Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini.

"KEPADA ALLAH BERSERAH"

ialah cogan negeri itu

____________________________________________________________________________

Bendera Negeri Kedah

Merah ialah warna kebangsaan negeri Kedah yang turun temurun. Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Anak bulan tanda negeri beragama Islam. Perisai pula maksudnya Raja (Kerajaan) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman.

Lambang Negeri Kedah

Lengkaran membawa maksud padi, tanaman utama negeri ini. Anak bulan tanda Agama Islam. Perisai pula tanda kekuasaan.

_________________________________________________________________________

Bendera Negeri Kelantan Darul Naim

Latar belakang berwarna merah maksudnya kejujuran penduduk, rakyat Raja. Lambang kebesaran berwarna putih itu tanda kesucian Raja negeri ini.

Lambang Negeri Kelantan Darul Naim

Mahkota itu tanda Kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak bulan dan bintang adalah tanda Islam. Dua pucuk meriam maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa sedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini tatkala Che' Wan Kembang (atau Che' Siti) Permaisuri Kelantan (kira-kira pada akhir kurun yang ke 14) yang kerana terlalu kasih kepada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu.

cogankata negeri

"BERSERAH KEPADA TUHAN KERAJAAN KELANTAN"

______________________________________________________________________

Bendera Negeri Pahang

Bendera negeri Pahang Darul Makmur mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah. Kedua-duanya sama lebar.

Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara.

Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan Beraja. Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada Raja sebagai negeri beraja dan berdaulat.

Lambang Negeri Pahang

Mata cogan yang berbentuk daun kopi itu keseluruhannya berwarna emas termasuk penongkok dan taran. Warna emas itu melambangkan logam emas yang merupakan hasil utama di negeri Pahang pada tahun 1862. Kepercayaan dahulu juga menyatakan bahawa tiada alat yang boleh menahan senjata atau mata senjata yang diperbuat daripada emas. Gading yang bersilang di bawah daun kopi melambangkan bahawa suatu ketika dahulu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar. Kalimah "Ya La Tif" bermaksud yang lemah-lembut Merupakan simbolik kepada pemerintahan yang tidak menggunakan kekerasan.

____________________________________________________________________


Bendera Negeri Sembilan

Tanah kuning itu maksudnya D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang berwarna merah bermakna rakyat. Sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.

Lambang Negeri Sembilan

Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa yang lalu dengan British. Warna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang Di Pertuan Besar. Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam gabungan lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda Kebesaran Yang Di Pertuan Besar.

___________________________________________________________________________

Bendera Negeri Melaka

Warna-warna merah, putih, kuning dan biru adalah warna-warna Bendera Persekutuan dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda Agama Islam, agama negeri dan Malaysia.

Lambang Negeri Melaka

Warna merah, putih, kuning dan biru maknanya Melaka sebuah negeri dalam Malaysia. Lima bilah keris maksudnya lima orang pahlawan termasyhur di Melaka pada zaman dahulu. Anak bulan dan bintang pecah lima tanda Agama Islam, agama rasmi negeri. Pokok Melaka ialah pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. Dua ekor pelandok yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua iaitu pelandoklah yang telah menyebabkan Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

HAK CIPTA TERPELIHARA

Hak Cipta Terpelihara 2009:
SJK (C) KG. BARU TAMPIN,
73000 TAMPIN,
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
Tel : 06 - 4416435 Faks : 06 - 4416435
Penafian :
SJK (C) KG. BARU TAMPIN Tidak akan bertanggung jawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan akibat penggunaan maklumat yang dicapai daripada Blog Rasmi SJK (C) KG. BARU TAMPIN ini.

ANDA PENGUNJUNG KE

SEKALUNG PENGHARGAAN

1-EN. SIN GEOK PHENG

2-EN. SHAFIE DIRON

3- CIK YEW HUEY WEN

4-RAKAN-RAKAN SETUGAS

5-SEMUA YANG TERLIBAT SECARA LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG

SEMBANG-SEMBANG

Archive

 

.....PSS SJKC KG. BARU TAMPIN.... Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template