PUSAT SUMBER SEKOLAH

E-PENDIDIKAN

PAUTAN PILIHAN

;

MODUL PSS

MAKLUMAT TERKINI

;

Rabu, 19 Mei 2010

Garam - Kebaikan dan Kemudaratan


GARAM - atau sodium klorid - adalah sejenis bahan perasa yang sering digunakan di dalam semua jenis masakan termasuk juga masakan yang manis. Ramai daripada kita memasukkan garam ke dalam makanan selepas selesai memasak makanan tersebut, kadang-kadang, dengan tidak merasai makanan itu terlebih dahulu! Malah, sebahagian besar daripada kita menggunakan garam lebih daripada yang kita perlukan.

Garam mengandungi 40% sodium iaitu sejenis bahan galian yang penting kepada badan. Bersama dengan sejenis galian yang lain iaitu potassium, sodium memainkan peranan yang penting dalam me-nyelaraskan keseimbangan kandungan air dalam badan. Badan akan menghadapi masalah kekurangan air jika tidak mendapat bekalan galian-galian tersebut dalam kadar yang sebetulnya. Kadar galian-galian tersebut yang seimbang adalah penting dalam menentukan perjalanan otot-otot dan saraf, penyerapan zat-zat makanan ke dalam sel-sel dan juga kepada keseimbangan bahan-bahan asid di dalam darah dan air kencing.
Garam yang berlebihan dalam diet seharian boleh menyebabkan seseorang itu mudah untuk mendapat penyakit darah tinggi. Selain daripada itu, garam juga boleh mengekalkan 70 kali daripada beratnya di dalam air, yang mana boleh membawa kepada berlakunya berlebihan kandungan air di dalam badan. Sungguhpun diet kita harus mengandungi sodium, tetapi ramai daripada kita akan mendapat kebaikan daripada mengurangkan pengambilannya. Satu langkah yang mudah ialah dengan membataskan penggunaan garam.
Mengurangkan kadar penggunaan garam adalah satu perkara yang mudah. Hanya campurkan kadar garam yang paling minima ke dalam makanan semasa memasaknya. Gunakan keju yang tidak bergaram dan cuba kurangkan ataupun elakkan daripada mengambil makanan-makanan siap yang mengandungi garam yang banyak. Akhir sekali, rasalah makanan tersebut terlebih dahulu sebelum memasukkan garam ataupun kicap - dua sumber sodium yang tinggi. Pengurangan garam ke dalam makanan tidaklah pula bermakna makanan yang tawar - ramuan ulam, rempah-rempah dan juga perahan limau akan menaikkan rasa apa juga makanan dalam kadar yang sama baik, malah, lebih berkhasiat.
Sodium adalah perlu untuk penyelarasan pembekalan air kepada tubuh badan manusia, tetapi air adalah satu faktor yang paling penting dalam kehidupan. 70% daripada kandungan di dalam tubuh manusia adalah terdiri daripada air. Tanpa air, tiadalah kehidupan. Tanpa air yang cukup pula, tubuh manusia tidak dapat berfungsi dengan potensi yang maksima.
Hasil daripada setengah kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa semasa proses umur meningkat tua, sel-sel akan mengalami kekurangan air dan menjadi kurang cergas. Hilangnya kelembapan terbukti dengan keadaan kulit yang kering dan tidak bermaya. Perkara yang sama boleh juga berlaku kepada orang-orang muda.
Ramai daripada kita memikirkan bahawa kita telah minum dengan cukup untuk membekalkan badan dengan cecair yang diperlukan. Tetapi tidak semua kes seperti ini memberi hasil yang sama. Sifat lebih mengutamakan minuman ringan yang manis, cola, kopi serta teh selalu mengatasi keperluan badan kepada kandungan air yang sepatutnya.
Kopi, teh dan cola semuanya mengandungi caffeine, sejenis bahan yang membawa kesan yang buruk kepada badan kita. Minuman-minuman ini mestilah dihadkan hanya kepada tiga cawan atau gelas setiap hari, jika anda tidak dapat mengelakkan diri daripada meminumnya. Minuman-minuman ringan yang dimaniskan adalah mengandungi gula ataupun saccharin dan phospates.
Pengambilan yang berlebihan akan mengganggu proses penyerapan tubuh kepada bahan-bahan galian. Jadi, air masih lagi merupakan pilihan utama kepada minuman kita. Langkah yang paling ideal ialah dengan meminum sebanyak lapan gelas air setiap hari, jika tidak menerima arahan daripada doktor untuk mengurangkan pengambilan bahan cecair dengan sebab-sebab kesihatan. Makanan juga boleh menambah kepada pengambilan air.
Seterusnya sebagai ulangan, sesuatu diet yang baik mestilah menghadkan kandungan gula, lemak.dan garam dan memasukkan kira-kira dua bahagian daripada kumpulan-kumpulan berikut setiap hari - daging lembu, ayam, itik dan sepertinya, ikan telur, bijian, roti, pasta, sayur-sayuran dan buah-buahan, serta juga air yang banyak.
Bagi golongan-golongan yang tidak memakan daging, perlulah menggantikan bahan-bahan tersebut dengan sumber-sumber protein yang lain seperti dari jenis kacang serta biji-bijian. Tidak semua daripada sumber-sumber tersebut dapat memberikan kandungan protein yang cukup, jadi perlulah kita mencampurkan bahan-bahan tersebut dengan sumber-sumber protein yang lain bagi mendapatkan keseimbangan yang baik untuk kegunaan badan.
Berikut adalah satu contoh menu sehari yang berasaskan kepada garis-garis kasar yang telah diberikan sebentar tadi:-
Sarapan pagi - Semangkuk makanan bijian yang kaya dengan gentian serta susu, roti bakar dan juga telur rebus.
Atau, capati yang dimakan dengan gulai dal yang merupakan satu hidangan yang berzat. Secawan teh atau kopi yang mana kalau suka boleh dicampurkan dengan sedikit susu dan gula.
Makan tengah hari - Nasi, gulai ayam atau daging, salad (dengan sedikit sos kacang untuk menambahkan rasanya) ataupun dengan sayur-sayuran campuran yang digoreng.
Buah-buahan segar atau agar-agar buah-buahan. Air untuk diminum.
Makan malam - Satu hidangan yang mudah dengan nasi, gulai ayam atau daging lebihan makanan tengah hari yang dipanaskan, dan juga semangkuk kangkung yang digoreng dengan udang dan sambal. Buah-buahan segar dan juga air untuk diminum.
Secawan teh atau kopi (ataupun perahan buah-buahan atau sayur-sayuran), serta sepotong buah atau sekeping biskut adalah pilihan yang baik untuk makanan ringan pada waktu pagi dan sebelah petang.
Cuba masukkan sekurang-kurangnya sekeping daun salad yang mentah dan segar dalam menu setiap hari. Sungguhpun ramai di antara kita di Malaysia tidak suka dengan cadangan memakan sayur mentah, salad boleh dibuat menarik dan berasa lazat jika dimakan bersama dengan kacang, ulam yang diletakkan dengan sedikit perahan limau dan minyak atau yoghurt. Untuk rasa yang lebih menarik, campurkan dengan sedikit madu. Bagi kita yang tinggal di Malaysia, malah adalah bertuah sekali kerana mempunyai berbagai-bagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang mana dengan sedikit imaginasi, boleh menghasilkan satu hidangan yang menarik, berwarna-warni serta lazat rasanya.
Akhir sekali, jangan pula lupa bahawa biar selazat manapun hidangan tersebut, ianya tidak akan memberikan apa-apa kebaikan jika tidak dimakan! Jadi, selain dari-pada merancangkan hidangan yang dapat memberikan semua zat-zat yang diperlukan, kita perlu juga melebihkan masa dan tenaga untuk membuatkan sesuatu jenis makanan itu kelihatan sedap dan lazat untuk dimakan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

kosmo sinchew nanyang nst DINAKARAN sinar OUM Metro beritaharian NST utusan jazeera jazeera MyKKK

HAK CIPTA TERPELIHARA

Hak Cipta Terpelihara 2009:
SJK (C) KG. BARU TAMPIN,
73000 TAMPIN,
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
Tel : 06 - 4416435 Faks : 06 - 4416435
Penafian :
SJK (C) KG. BARU TAMPIN Tidak akan bertanggung jawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan akibat penggunaan maklumat yang dicapai daripada Blog Rasmi SJK (C) KG. BARU TAMPIN ini.

ANDA PENGUNJUNG KE

SEKALUNG PENGHARGAAN

1-EN. SIN GEOK PHENG

2-EN. SHAFIE DIRON

3- CIK YEW HUEY WEN

4-RAKAN-RAKAN SETUGAS

5-SEMUA YANG TERLIBAT SECARA LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG

SEMBANG-SEMBANG

Archive

 

.....PSS SJKC KG. BARU TAMPIN.... Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template